Pentingnya bahasa inggeris zaman ini!
Di era ini, Bahasa Inggeris merupakan satu bahasa yang amat
penting. Ini kerana Bahasa Inggeris
adalah bahasa global, bahasa antarabangsa dan paling banyak di tutur di dunia
secara rasminya. Jika kita ingin melawat, belajar atau bekerja secara selesa
tidak kira di dalam dan luar negara, bertutur dengan menggunakan bahasa
Inggeris menjadi kelebihan kepada kita. Kita akan lebih yakin jika kita mampu
bercakap Bahasa Inggeris.
Penting ketika berkomunikasi
Bahasa
Inggeris merupakan bahasa yang paling utama atau dikenali sebagai bahasa nombor
satu dunia. Perkara ini dapat dibuktikan
apabila jumlah penutur bahasa Inggeris di seluruh dunia mengatasi jumlah
penutur bahasa utama lain seperti bahasa Perancis dan Rusia. Justeru itu, Bahasa
Inggeris merupakan bahasa yang digunakan semasa seseorang berkomunikasi dengan
bangsa dari negara lain. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja memudahkan
kita untuk berhubung dengan dunia luar malah bahasa ini menjamin kelancaran urusan
yang melibatkan bangsa negara lain. Sebagai contoh, urusan seseorang dengan
bangsa lain akan berjalan dengan lancar sekiranya seseorang itu menguasai Bahasa
Inggeris dengan sepenuhnya. Akan tetapi, apabila seseorang itu kurang arif atau
tidak boleh berbahasa Inggeris, ini akan mendatangkan satu masalah yang besar
bagi individu tersebut. Perakara ini telah menunjukkan bahawasanya Bahasa
Inggeris itu amat penting untuk individu, masyarakat atau negara.
Bahan bacaan
Kebanyakan
buku, bahan bacaan atau rujukan terdapat dalam Bahasa Inggeris. Secara
majoritinya, buku ilmiah dalam pelbagai bidang seperti undang – undang, sains
dan teknologi, perubatan dan perakaunan diterbitkan di dalam bahasa ini. Hal
ini tidak menjadi masalah bagi golongan yang dapat menguasai bahasa Inggeris
untuk memahami isi-isi yang tercatat dalam bahan bacaan tersebut. Persoalannya,
adakah anda faham akan isi-isi yang ingin disampaikan sedangkan tahap
penguasaan bahasa Ingeris berada pada paras yang menyedihkan? Jawapannya
semestinya tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu yang terdapat dalam
bahan bacaan itu memerlukan tahap penguasaan bahasa Inggeris yang optimum.
Dengan ini, tampaklah bahawa penguasaan bahasa Inggeris amat penting dalam
menimba ilmu yang tidak terhingga.
Bahasa di dunia siber
Di era yang serba moden lagi canggih ini,
pelbagai teknologi telah dicipta untuk dijadikan sebagai keperluan mahupun
kepuasan untuk individu yang mempunyai minat mendalam terhadap teknologi yang
canggih seperti komputer, telefon pintar dan lain-lain. Seperti yang kita
ketahui, kebanyakan barangan tersebut bukanlah dibangunkan di Malaysia, akan
tetapi ia dibangunkan di luar negara. Justeru itu, kesemua perisian yang
digunakan adalah bahasa Inggeris. Oleh itu, sekiranya kita kurang atau tidak menguasai
bahasa Inggeris, maka wujudlah satu masalah kepada kita. Jika kita menguasai
bahasa Inggeris, kita mampu menggunakan perisian tersebut, dalam masa yang sama
dapatlah kita belayar di alam siber untuk mencari maklumat atau informasi
terkini. Malahan, kita juga dapat memahami isi-isi tersurat yang terungkap dalam laman web yang disalurkan
melalui internet. Jadi, bahasa Inggeris haruslah dipandang berat kerana bahasa
ini merupakan bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet.
Kesimpulannya, bahasa Inggeris ialah
bahasa antarabangsa yang sangat mustahak untuk berhubung dengan bangsa lain,
baik dengan masyarakat tempatan mahupun dengan masyarakat dunia luar. Walaupun
bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara namun bahasa
Inggeris amat penting untuk kemajuan negara. Penggunaan bahasa Inggeris
membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah
menerima maklumat antarabangsa. Oleh itu, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang
amat penting dalam menimba ilmu pengetahuan, komunikasi antarabangsa, dan
bidang teknologi.