Thursday 18 April 2013

Pentingnya bahasa inggeris zaman ini!




Pentingnya bahasa inggeris zaman ini!

Di era ini, Bahasa Inggeris merupakan satu bahasa yang amat penting.  Ini kerana Bahasa Inggeris adalah bahasa global, bahasa antarabangsa dan paling banyak di tutur di dunia secara rasminya. Jika kita ingin melawat, belajar atau bekerja secara selesa tidak kira di dalam dan luar negara, bertutur dengan menggunakan bahasa Inggeris menjadi kelebihan kepada kita. Kita akan lebih yakin jika kita mampu bercakap Bahasa Inggeris.

Penting ketika berkomunikasi
            Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang paling utama atau dikenali sebagai bahasa nombor satu dunia.  Perkara  ini dapat dibuktikan apabila jumlah penutur bahasa Inggeris di seluruh dunia mengatasi jumlah penutur bahasa utama lain seperti bahasa Perancis dan Rusia. Justeru itu, Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan semasa seseorang berkomunikasi dengan bangsa dari negara lain. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja memudahkan kita untuk berhubung dengan dunia luar malah bahasa ini menjamin kelancaran urusan yang melibatkan bangsa negara lain. Sebagai contoh, urusan seseorang dengan bangsa lain akan berjalan dengan lancar sekiranya seseorang itu menguasai Bahasa Inggeris dengan sepenuhnya. Akan tetapi, apabila seseorang itu kurang arif atau tidak boleh berbahasa Inggeris, ini akan mendatangkan satu masalah yang besar bagi individu tersebut. Perakara ini telah menunjukkan bahawasanya Bahasa Inggeris itu amat penting untuk individu, masyarakat atau negara.

Bahan bacaan
            Kebanyakan buku, bahan bacaan atau rujukan terdapat dalam Bahasa Inggeris. Secara majoritinya, buku ilmiah dalam pelbagai bidang seperti undang – undang, sains dan teknologi, perubatan dan perakaunan diterbitkan di dalam bahasa ini. Hal ini tidak menjadi masalah bagi golongan yang dapat menguasai bahasa Inggeris untuk memahami isi-isi yang tercatat dalam bahan bacaan tersebut. Persoalannya, adakah anda faham akan isi-isi yang ingin disampaikan sedangkan tahap penguasaan bahasa Ingeris berada pada paras yang menyedihkan? Jawapannya semestinya tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu yang terdapat dalam bahan bacaan itu memerlukan tahap penguasaan bahasa Inggeris yang optimum. Dengan ini, tampaklah bahawa penguasaan bahasa Inggeris amat penting dalam menimba ilmu yang tidak terhingga.

Bahasa di dunia siber
Di era yang serba moden lagi canggih ini, pelbagai teknologi telah dicipta untuk dijadikan sebagai keperluan mahupun kepuasan untuk individu yang mempunyai minat mendalam terhadap teknologi yang canggih seperti komputer, telefon pintar dan lain-lain. Seperti yang kita ketahui, kebanyakan barangan tersebut bukanlah dibangunkan di Malaysia, akan tetapi ia dibangunkan di luar negara. Justeru itu, kesemua perisian yang digunakan adalah bahasa Inggeris. Oleh itu, sekiranya kita kurang atau tidak menguasai bahasa Inggeris, maka wujudlah satu masalah kepada kita. Jika kita menguasai bahasa Inggeris, kita mampu menggunakan perisian tersebut, dalam masa yang sama dapatlah kita belayar di alam siber untuk mencari maklumat atau informasi terkini. Malahan, kita juga dapat memahami isi-isi tersurat  yang terungkap dalam laman web yang disalurkan melalui internet. Jadi, bahasa Inggeris haruslah dipandang berat kerana bahasa ini merupakan bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet.

Kesimpulannya, bahasa Inggeris ialah bahasa antarabangsa yang sangat mustahak untuk berhubung dengan bangsa lain, baik dengan masyarakat tempatan mahupun dengan masyarakat dunia luar. Walaupun bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara namun bahasa Inggeris amat penting untuk kemajuan negara. Penggunaan bahasa Inggeris membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. Oleh itu, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat penting dalam menimba ilmu pengetahuan, komunikasi antarabangsa, dan bidang teknologi.