Di Tanah Melayu, dan kemudiannya
Malaysia, apabila tulisan Jawi sedikit demi sedikit kehilangan pengaruh
berikutan perkembangan tulisan Rumi, isu memartabatkan tulisan Jawi mula hangat
diperkatakan. Bagi masyarakat Islam, kepentingan tulisan Jawi dilatari dengan
kewajipan mempelajari ilmu agama yang dituntut ke atas setiap penganutnya.
Namun begitu, keistimewaan tulisan Jawi membuatkan ia mampu menarik pengikut
dan penggemar dalam kalangan masyarakat bukan Islam.
Tulisan Jawi Sebagai Medium Asas
Pengajaran Pendidikan Islam
Tulisan Jawi merupakan abjad-abjad
yang telah diubah suai dari huruf-huruf Arab. Kebanyakan huruf-huruf yang
diubah adalah mengikut kesusaian lidah orang Melayu bagi memudahkan proses
pengajaran dan pembelajaran. Antara huruf-huruf yang diubah suai seperti huruf
Ga ( Ú¬)
dan Cha ( Ú†). Untuk itu, tulisan Jawi telah dijadikan sebagai medium
asas untuk pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah
Malaysia pada hari ini, terutamanya dalam pembelajaran al-Qur'an. Matlamat
pelajaran Jawi adalah untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran menulis dan
membaca Jawi bagi membolehkan pelajar memahami pelbagai bidang ilmu dalam
Pendidikan Islam.
Mengatasi
Masalah Penguasaan Dalam Pembacaan Teks Jawi Dikalangan Pelajar Sekolah
Kelemahan penguasaan Jawi dalam
kalangan murid bukan lagi perkara baru malahan banyak kajian telah dijalankan
bagi mengenalpasti punca berlakunya keadaan tersebut. Tidak ketinggalan
kajian-kajian turut dijalankan untuk melihat tahap penguasaan murid-murid dalam
kemahiran. Pengenalan Program j-QAF dengan satu model khusus untuk pemulihan
jawi telah mula dilaksanakan pada tahun 2005. Salah satu dari model yang
terkandung dalam kurikulum j-QAF ialah Model Pemulihan Jawi yang memberi
penekanan untuk memberi pemulihan terhadap murid yang tercicir dalam Jawi.
Kaedah yang ditekankan bagi melaksanakan P&P Model Pemulihan Jawi ini
adalah untuk memperkasakan pelajar dalam bidang tilawah al-Qur’an, bidang aqidah,
ibadah, Sirah Nabawi, akhlak dan jawi agar ianya lebih berkesan dan dapat
dihayati serta diamalkan dalam kehidupan.
Menguasai Cabang-cabang Ilmu Dalam Bidang Pendidikan
Islam
Banyak khazanah intelektual
masyarakat lama disimpan, didokumentasikan, dan ditulis dalam tulisan
Jawi. Malah, terdapat pemindahan budaya dan pengetahuan dari negara
Islam, terutama negara Arab, seperti kesusasteraan, ilmu sains, ilmu astronomi,
ilmu agama, dan ilmu matematik, yang diterjemahkan ke dalam tulisan Jawi yang
mempelopori kemajuan dan inovasi budaya masyarakat Asia dan Asia Tenggara.
Banyak juga kitab-kitab lama yang ditulis dalam bahasa Melayu dengan
menggunakan tulisan jawi, tetapi kebanyakannya ditulis dengan menggunakan
sistem ejaan jawi lama.
Menjadi Lambang Kesenian dan Identiti
Umat Islam
Tulisan Jawi mempunyai sistem
ejaan dan tulisan yang paling mudah, ringkas, dan tepat. Tulisan Jawi
turut mempunyai nilai estetika yang tinggi, menarik, unik, dan klasik.
Tulisan ini dapat dilentur dan digayakan mengikut kemahiran, kecekapan, dan
ketelitian seseorang. Tulisan Jawi mempunyai kaitan yang
penting dengan literasi agama dan kehidupan beragama dalam masyarakat
Melayu. Rujukan utama bagi mengukuhkan akidah masyarakat Islam berasaskan
al-Quran, hadis, sunah, kitab, dan sebagainya yang ditulis dalam tulisan Jawi
atau bahasa Arab. Kelemahan generasi muda dalam tulisan Jawi menyebabkan
literasi agama dalam kalangan generasi itu merosot. Banyak golongan muda
Melayu tidak dapat membaca dan memahami kandungan al-Quran dan tidak dapat
menggarap pengetahuan agama Islam dengan baik kerana kebanyakan mereka buta
jawi. Pemesongan akidah dan kedangkalan pengetahuan agama dapat berlaku kerana
kelemahan dalam tulisan Jawi. Kelemahan yang dihadapi oleh generasi muda
menjadi amat kritikal apabila pengajaran dan pemelajaran agama Islam di sekolah
tidak lagi mengutamakan tulisan Jawi, sebaliknya disampaikan dengan menggunakan
tulisan Rumi. Ada juga guru agama yang buta Jawi, iaitu tidak tahu dan tidak
cekap menulis dan membaca bahan agama dan ayat al-Quran dalam tulisan
Jawi. Kelemahan yang berlaku ini kerana tidak mendapat perhatian serius
daripada ibu bapa Melayu dan guru agama yang bertanggungjawab terhadap
pendidikan agama, tidak dinilai dan dipantau, serta dibiarkan sebagai amalan
biasa sehingga pendidikan agama di sekolah sekarang mempunyai berbagai-bagai
kepincangan dan kelemahan yang sukar diatasi.
Sebagai Nadi Bagi Masyarakat Melayu Yang Sinonim Dengan
Agama Islam
Kepupusan tulisan Jawi sebagai
pengantar intelektual dan tradisi keilmuan masyarakat Melayu mempunyai kesan
yang amat besar dalam proses pembinaan jati diri bangsa Melayu dan pengukuhan
sosiobudaya bangsa itu di negara ini. Tulisan Jawi merupakan khazanah
intelektual, jati diri budaya, wacana pemikiran dan kesusasteraan, serta
estetika bahasa yang penting kepada pembinaan kekuatan bangsa Melayu.
Tulisan itu turut menjadi medium yang menjalin keintiman hubungan dan
siratulrahim ummah dan sebagai genre bahasa yang mempunyai kaitan yang amat
unggul dan penting kepada jati diri dan unsur Islam yang mendasari kekuatan dan
kekukuhan jati diri Melayu. Sejak berabad lamanya, tulisan Jawi telah memainkan
peranan yang amat penting dalam mendukung perjuangan kemelayuan dan
keislaman. Tulisan itu bukan sahaja mempunyai kekuatan dari segi jati
diri kebangsaannya, malah kekuatan simbolisme terhadap perkembangan budaya dan
bahasa Melayu. Tulisan Jawi, dari segi sejarah penakatan dan perjuangan Melayu,
telah memberikan sumbangan yang besar dan banyak kepada perubahan dan kemajuan
bangsa Melayu. Pendidikan Melayu berkembang dan dapat disampaikan kepada
orang Melayu, khususnya generasi tua dahulu, melalui tulisan Jawi. Walau
bagaimanapun, tulisan itu semakin pupus apabila mula dipinggirkan daripada sistem
pendidikan negara yang mengutamakan tulisan Rumi. Secara beransur-ansur,
tulisan Jawi diketepikan dan tidak lagi menjadi pengantar dalam pengajaran dan
pemelajaran di sekolah.